BERITA SEMASA

Tamu Hotel & Suites tawar lebih 170 juadah bufet Ramadan, pakej penginapan serendah RM150

KUALA LUMPUR – Bersempena bulan Ramadan yang bakal tiba kurang sebulan lagi, restoran mahupun hotel semakin galak menjalankan persiapan dengan pelbagai tawaran bufet Ramadan.

Tidak ketinggalan, hotel bertaraf empat bintang, Tamu Hotel & Suites menawarkan tawaran istimewa bagi sesiapa yang mahu bermalam sambil menikmati bufet Ramadan sepanjang bulan suci ini.

Tampil dengan tema ‘Cerita Citarasa Ramadan’ Tamu Hotel & Suites bakal menyajikan lebih 170 juadah berbuka puasa khususnya membabitkan masakan warisan tradisi Melayu dari pelbagai negeri.

Menurut Chef Eksekutif, Azizul Mohd Noor, atas permintaan ramai, menu hidangan makanan Masakan Warisan Tradisi Melayu dikekalkan kerana ianya sinonim dengan selera rakyat Malaysia.

“Menu utama kami yang menjadi buah mulut ramai pengunjung seperti Nasi Kambing Tagine Dulang Besar, Sup Gear Box, Gulai Daging Batang Pisang dan Kari Kepala Ikan juga dikekalkan selain menu hidangan masakan antarabangsa,” katanya.

“Tidak ketinggalan juga menu pilihan di 16 gerai seperti laksa, rojak, satay ayam dan daging, murtabak dan roti john, pasta, mushroom soup, Chicken Mongolian, shawarma kambing bakar, ikan bakar,
Donut Panas Tamu dan pelbagai lagi,” ujarnya lagi.

Ruang makan bufet Ramadan yang menyajikan pemandangan ibu kota.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan
ZIKAY Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata, selain daripada makanan Malaysia, Tamu Hotel turut menawarkan makanan dari Timur Tengah yang telah diolah bagi menepati citarasa masyarakat Malaysia.

“Kita ada juga buat makanan daripada Timur Tengah macam nasi kambing tapi makanan-makanan ini kita olah sedikit supaya menepati citarasa orang Melayu.

Bagi mereka yang ingin melakukan tempahan awal, Tamu Hotel & Suites menawarkan diskaun eksklusif (early bird) pada harga RM130 bagi dewasa, RM98 warga emas dan RM85 bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun.

Tempahan awal dibuka pada Februari hingga minggu pertama bulan Ramadan sahaja.

Mengulas lanjut, Mohd Khay berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, Tamu Hotel menawarkan pakej penginapan bilik istimewa pada harga RM150 untuk dua hari satu malam dengan sahur percuma bagi dua orang.

Fasiliti yang disediakan di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.

“Terletak secara strategik dalam jarak berjalan kaki yang singkat ke Majid Jamek Kampong Bharu, hotel kami merupakan tempat penginapan yang tepat dan selesa untuk menunaikan ibadah terawih, tadarus dan qiamullail.

“Kalau RM150 untuk suami isteri jadi seorang hanya RM75. Mereka boleh duduk sini empat ke lima hari atau seminggu kerana kita kena mainkan peranan untuk menggalakkan orang beribadat sebab itu kita turunkan harga bilik.

“Kita tahu ramai orang datang ke Kuala Lumpur untuk membeli belah dengan anak emak, ayah jadi kalau kita turunkan harga kepada RM150 jadi mereka tidak akan berasa berat untuk bayar duit hotel,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button