Trump dakwa jadi ‘Presiden Keamanan’ selepas gencatan senjata Thailand-Kemboja
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa dirinya sebagai pencetus utama kepada persetujuan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sambil menggelar dirinya ‘Presiden Keamanan’.
Memetik laporan Times of India, Trump menerusi satu hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan besar dalam usaha diplomasi.
“Saya berbangga kerana menjadi Presiden Keamanan,” tulis Trump.
Beliau turut mendakwa selepas penglibatannya secara langsung, kedua-dua negara berkenaan mencapai persetujuan damai.
“Saya dengan sukacita mengumumkan selepas penglibatan Presiden Donald J. Trump, kedua-dua negara Thailand dan Myanmar telah mencapai gencatan senjata dan keamanan. Tahniah kepada semua! Dengan menamatkan perang ini, kita telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa,” katanya.
Trump turut mendedahkan beliau menghubungi pemimpin kedua-dua negara secara berasingan pada Sabtu lalu dan memberi amaran akan menyekat perjanjian perdagangan jika pertempuran tidak dihentikan.
“Saya telah mengarahkan pasukan perdagangan saya untuk memulakan semula rundingan mengenai perdagangan,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau telah menamatkan banyak konflik dalam tempoh enam bulan sahaja.
“Saya bangga menjadi Presiden Keamanan,” tambahnya.
Kenyataan tersebut hadir selepas pengumuman rasmi gencatan senjata oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertindak selaku tuan rumah rundingan damai khas membabitkan Thailand dan Kemboja di Putrajaya, semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








