UMNO Perlis sedia bertanding solo di 15 DUN, tiga Parlimen
KUALA LUMPUR – UMNO Perlis memberi isyarat jelas untuk bergerak solo pada pilihan raya akan datang dengan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertandingan di kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen.
Ketua UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi dengan mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerjasama menghadapi pilihan raya.
Menurut beliau, meskipun terdapat pihak yang cuba menghubunginya untuk mengadakan pertemuan, perkara itu belum membawa kepada sebarang perbincangan rasmi di peringkat negeri.
“Dalam konteks Perlis, kita tidak ada apa-apa perbincangan dengan mana-mana parti, termasuklah dengan PN.
“Apa yang dihasratkan ahli parti dan gerak kerja yang telah dibuat adalah persediaan untuk kita terus bekerja di 15 DUN dan tiga Parlimen.
“Ini adalah hala tuju yang sangat jelas untuk UMNO Perlis. Kita tidak ada apa-apa perbincangan untuk kita mengadakan pakatan bagi pilihan raya yang akan datang. Itu pendirian UMNO Perlis buat masa ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Rozabil pada masa sama mendakwa pentadbiran PN di Perlis masih belum menunjukkan perkembangan pembangunan yang ketara, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan dan ekonomi untuk golongan muda.
Katanya, rakyat negeri itu sebelum ini sudah memberi peluang kepada PN untuk mentadbir, namun perkembangan yang diharapkan masih belum kelihatan.
“Rakyat Perlis telah memberi peluang kepada PN untuk mentadbir, tetapi sehingga saat ini tidak nampak apa-apa perkembangan pembangunan, terutamanya peluang pekerjaan dan ekonomi kepada anak muda.
“Kita akui pentadbiran BN terdahulu ada kekurangan, tetapi berbanding pentadbiran sekarang, jauh berbeza,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan terhadap penerimaan rakyat terhadap UMNO juga semakin meningkat berdasarkan perkembangan dan reaksi semasa yang diterima parti.
Dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa, katanya, jentera UMNO Perlis termasuk Wanita menerusi Jalinan Rakyat (JR) di setiap pusat daerah mengundi (PDM) sudah digerakkan.
“Jentera termasuk Wanita menerusi Jalinan Rakyat (JR) di setiap PDM telah digerakkan seolah-olah pilihan raya akan berlaku pada bila-bila masa,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, UMNO mengalami kekalahan di semua kerusi yang ditandingi di peringkat DUN dan Parlimen di Perlis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








