PAS ambil alih ‘kemudi’ PN, sedia baiki kerosakan akibat kegagalan BERSATU
KUALA LUMPUR – PAS kini mengambil langkah proaktif bagi memulihkan struktur dan hala tuju Perikatan Nasional (PN) susulan krisis dalaman yang melanda gabungan tersebut sejak kebelakangan ini.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi menyelamatkan bahtera PN yang didakwanya terjejas akibat kegagalan pengurusan di peringkat dalaman BERSATU.
Menurut beliau, kerosakan yang dialami oleh PN kini berada pada tahap yang kronik, merangkumi isu kritikal di peringkat pusat sehinggalah ke krisis pentadbiran di negeri-negeri seperti Perlis dan Negeri Sembilan.
“PN bukan milik BERSATU. PN milik kita semua bersama. PN sepatutnya sejak dari awal lagi menjadi wadah untuk menyatukan pembangkang di bawah satu payung besar dan sekali gus mengukuhkan kedudukan dan pengaruh politik PN dalam pentas politik dan demokrasi Malaysia hari ini. Namun, BERSATU bertindak sebaliknya,” jelas beliau.
Mengulas mengenai situasi semasa, Muhammad Faizzuddin berkata, kesabaran pihak PAS terhadap kemelut yang berlaku sudah sampai ke penghujungnya.
Beliau menyifatkan tindakan agresif pimpinan PAS sebagai langkah strategik bagi memastikan PN kembali relevan.
Susulan daripada itu, beliau menggesa agar pihak BERSATU supaya bersikap lebih tenang dan tidak melontarkan serangan politik peribadi yang disifatkannya sebagai sempit dan tidak membawa manfaat.
“BERSATU perlu bertenang dan berikan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS untuk baiki kerosakan yang telah dilakukan oleh BERSATU kepada PN.
“Justeru, BERSATU perlu ambil pendirian bertenang seketika, janganlah melakukan serangan politik sesama sendiri yang ternyata bersifat keperibadian, sempit dan tidak bermanfaat. Masa untuk bekerja,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai masa depan kepimpinan PN yang kini sedang dibentuk.
Menurutnya, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sedang membentuk pasukan kepimpinan negara yang menggabungkan elemen muda serta proaktif bagi menawarkan alternatif lebih baik kepada pentadbiran kerajaan ketika ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








