BERITA SEMASAPOLITIK

Fitnah UMNO ‘sucikan’ DAP tidak berasas – Asyraf Wajdi kepada Hadi Awang

KUALA LUMPUR – UMNO menolak sekeras-kerasnya dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa parti itu ‘mensucikan’ DAP susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, minggu lalu.

Tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tuduhan tersebut merupakan fitnah yang tidak berasas serta bermotif jahat, sambil menegaskan partinya konsisten mempertahankan dasar perjuangan meskipun terlibat dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘fatwa’ yang mewajibkan ahlinya menyokong DAP, apatah lagi membenarkan solat di hadapan pejabat DAP sebagai tanda sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Selain itu, Asyraf Wajdi turut menegaskan UMNO tidak pernah sama sekali mengangkat mana-mana pemimpin DAP ke tahap ‘Khalifah’ atau mengibarkan bendera parti tersebut.

“UMNO juga tidak pernah mengubah dasar perjuangan semata-mata untuk memenuhi kehendak DAP, berbeza dengan pihak tertentu yang pernah menukar dasar daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan semata-mata untuk bekerjasama,” katanya.

Beliau menambah, UMNO kekal teguh mempertahankan dasar Islam, kedudukan Melayu-Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu dengan mewajibkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP menandatangani perjanjian bersama.

“UMNO membantah keras cadangan Ngeh Ko Ham untuk melantik wakil bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syariah dan DAP akhirnya akur.

“Begitu juga dengan cadangan YB Nga Kor Ming menjadikan Kampung Baharu sebagai Tapak Warisan UNESCO yang bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Tegas Asyraf lagi, sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan , tidak ada satu pun dasar berkaitan Islam atau agenda Melayu-Bumiputera yang dikompromikan.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa gabungan UMNO dan DAP telah ‘mensucikan’ DAP susulan atas kemenangan BN dalam PRK Ayer Kuning.

Abdul Hadi turut melabel kemenangan calon BN Yusri Bakir sebagai kejayaan UMNO menubuhkan UMDAP iaitu gabungan UMNO dan DAP.

“UMDAP mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam,” dakwanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button