UMNO tubuh pasukan khas teliti Rang Undang-Undang PSB
KUALA LUMPUR – UMNO menubuhkan sebuah pasukan khas diketuai Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu akan memperhalusi setiap aspek PSB secara terperinci sebelum dibawa ke Konvensyen Melayu Bandar.
Menurut beliau, konvensyen berkenaan yang dijadual berlangsung penghujung September ini akan menghimpunkan kepimpinan tertinggi UMNO dari seluruh negeri dan bahagian serta penglibatan parti-parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik serta masyarakat sivil.
“Resolusi Konvensyen Melayu Bandar nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kerajaan menangguhkan perbahasan RUU PSB tersebut ke persidangan Dewan Rakyat seterusnya iaitu pada Oktober depan ekoran mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan.
Susulan itu, kerajaan bakal memperkenalkan pindaan terhadap beberapa peruntukan di bawah RUU PSB bagi menangani kebimbangan mengenai komposisi demografi dan ambang persetujuan daripada pemilik hartanah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan mengambil berat akan keresahan yang dibangkitkan pelbagai pihak mengenai komposisi penduduk di sesebuah kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
Beliau berkata, KPKT juga akan meminda fasal 19 RUU berkenaan berkait dengan nilai ambang persetujuan yang diperlukan daripada pemilik atau penghuni asal sebelum projek pembaharuan bandar dapat dijalankan.
Katanya, nilai ambang persetujuan itu akan dinaikkan sebagai menghormati pandangan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang diberikan dalam sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








