POLITIK

Nazri sedia kembali bertanding PRU16 jika diperlukan UMNO

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya khidmat beliau masih diperlukan oleh parti.

Beliau berkata, keputusan untuk bertanding semula bergantung kepada keperluan UMNO memandangkan beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas.

“Saya masih lagi Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas. Tengoklah macam mana nanti sama ada perlu bertanding semula atau tidak,” memetik BH online.

Mohamed Nazri sebelum ini memilih untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada PRU15 selepas mengakhiri perkhidmatannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu.

Untuk rekod, beliau pernah mempertahankan Parlimen Padang Rengas selama enam penggal berturut-turut dan pernah memegang beberapa jawatan menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Menteri Pembangunan Usahawan serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Padang Rengas yang sebelum ini dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN) dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Azahari Hasan yang memperoleh 12,931 undi, menewaskan calon BN dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerjasama UMNO dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN), Mohamed Nazri berpandangan ia lebih sesuai dipertimbangkan selepas PRU16.

Menurutnya, sebarang kerjasama sebelum pilihan raya berisiko menjejaskan peluang UMNO untuk bangkit semula khususnya di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.

“UMNO tewas di empat negeri itu pada PRU15 dan jika kerjasama dibuat sebelum pilihan raya, saya bimbang UMNO akan terus terkubur di sana.

“Dalam politik dan pertempuran, kita perlu bijak mengatur strategi. Kerjasama itu boleh dibuat, tetapi bukan sekarang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button