POLITIK

Tengku Zafrul akui pernah adakan perbincangan dengan PKR

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz mengakui pernah mengadakan perbincangan dengan PKR bagi memilih wadah perjuangan politik.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, namun begitu tiada perbincangan mengenai jawatan atau penyertaan dalam pilihan raya kecil.

“Dalam memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara seterusnya, seperti saya nyatakan, saya pernah ada berbincang dengan parti PKR.

“Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil dibincangkan.

“Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi. Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan beliau ke dalam parti tersebut.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Tengku Zafrul mengakui terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara ini.

Tambahan pula katanya, sejak isu itu mula diketengahkan beliau tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar.

“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.

“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button