POLITIK

Zahid imbau semangat penubuhan UMNO di Tangga Istana Besar Johor

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengimbau detik bersejarah penubuhan UMNO di Tangga Istana Besar Johor sambil menyeru ahli parti itu terus mempertahankan perjuangan agama, bangsa dan negara.

Menerusi satu hantaran di Facebook sempena ulang tahun penubuhan UMNO hari ini, beliau berkata, 11 Mei 1946 menjadi tarikh penting di mana sejarah besar bangsa Melayu telah terpahat.

“Sesungguhnya, di sinilah para pemimpin Melayu berhimpun, menyatukan tekad dan keberanian untuk mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Daripada semangat perjuangan itulah lahirnya UMNO, sebuah wadah yang akhirnya menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara dan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat.

“Hari ini, saya bersama saf kepimpinan UMNO berpeluang untuk kembali berdiri di tempat yang sama, selepas 80 tahun UMNO melalui pelbagai mehnah dan liku-liku perjuangan,” tulisnya.

Menurut beliau, kehadiran para pemimpin UMNO di lokasi bersejarah itu bukan sekadar untuk bernostalgia atau merakam gambar kenangan.

umno
Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menghadiri sesi fotografi bersama Zahid dan kepimpinan UMNO yang lain.

“Tetapi untuk mengenang jasa generasi terdahulu, menginsafi harga sebuah perjuangan dan memperbaharui tekad bahawa amanah ini mesti terus dipikul dengan setia, berani dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Dalam hantaran sama, Zahid turut merafakkan junjungan kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan mencemar duli ke sesi fotografi bersejarah berkenaan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas limpah perkenan dan sokongan dalam menjayakan detik bersejarah itu.

Zahid berkata, sejarah sentiasa mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah bangsa lahir daripada kesatuan rakyat, kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu serta keikhlasan berkhidmat demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Semoga UMNO terus kekal sebagai wadah perjuangan yang menyatukan, mempertahankan maruah bangsa, menjunjung agama, memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan berkhidmat kepada tanah air tercinta.

“Dulu, kini dan selamanya, UMNO akan terus menjadi Rumah Bangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button