BERITA SEMASAPOLITIK

Akmal pelawa Saifuddin, MPT BERSATU dikenakan tindakan sertai UMNO

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mempelawa Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai semula UMNO.

Dr Akmal berkata, tawaran berkenaan turut dibuka kepada semua ahli BERSATU yang sebelum ini dipecat atau digantung keahlian, sebagai usaha mengembalikan kesatuan dalam kalangan orang Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi mengelakkan perpecahan yang hanya merugikan agama dan bangsa.

“Bersatulah wahai pemimpin Melayu-Islam, jangan lagi bercakaran. Kita berpecah yang rugi adalah agama dan bangsa kita di tanah air ini, belajarlah dari kesilapan kita sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya malam tadi.

Baca juga : Saifuddin dedah kemuka tiga tuntutan kepada Lembaga Disiplin BERSATU sebelum dipecat

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu yang bermesyuarat semalam membuat keputusan memecat Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan surat pemecatan berkenaan, tindakan itu diambil kerana Saifuddin didakwa melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Bersatu memberi tempoh 14 hari berkuat kuasa Selasa lalu kepada Saifuddin untuk mengemukakan rayuan.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button