BERITA SEMASAPOLITIK

Saifuddin dedah kemuka tiga tuntutan kepada Lembaga Disiplin BERSATU sebelum dipecat

KUALA LUMPUR – Datuk Saifuddin Abdullah mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin BERSATU yang didakwa tidak mematuhi prinsip keadilan sewajarnya susulan pemecatan keahliannya daripada parti berkenaan.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPT) BERSATU itu mendakwa beliau tidak diberikan proses yang adil di sebalik tuduhan melanggar disiplin parti sehingga membawa kepada pemecatan keahliannya semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pihaknya telah mengemukakan tiga tuntutan kepada Lembaga Disiplin ketika hadir dipanggil pada 6 November lalu.

Menurutnya, tuntutan pertama adalah supaya dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin mengundurkan diri dan tidak mengadili kesnya kerana didakwa mempunyai talian serta hubungan kekeluargaan dengan pemimpin utama parti itu.

“Tuntutan kedua berhubung keterangan mengenai penyiasat dan pendakwa. Saya meminta Lembaga Disiplin menjelaskan nama penyiasat kes saya dan nama pihak yang membuat pendakwaan ke atas saya.

“Penting untuk mendapatkan kepastian bahawa pihak membuat pendakwaan ke atas saya dan AJK Lembaga Disiplin yang akan memutuskan kes ini adalah tiga pihak berbeza. Ini bagi memastikan saya mendapat keadilan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan jawapan balas yang diberikan Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohammed Radzi Manan menunjukkan siasatan terhadap kesnya tidak adil serta berlawanan dengan prinsip ‘natural justice dan fair trial’.

Tuntutan ketiga pula, kata Saifuddin, adalah supaya Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipanggil hadir bersama dalam prosiding berkenaan, namun tiada sebarang maklum balas diberikan oleh Lembaga Disiplin.

“Saya memohon supaya diadakan satu sesi perjumpaan baharu yang memenuhi ketiga-tiga tuntutan saya. Sekiranya tuntutan itu dipenuhi, saya bersedia menghadiri sesi seterusnya dan memberi kerjasama penuh kepada Lembaga Disiplin.

“Ini kerana saya percaya, menurut prinsip natural justice, saya berhak mendapatkan perbicaraan atau prosiding yang adil. Sehingga 6 Januari 2026 (semalam), saya tidak menerima apa-apa maklumat daripada Lembaga Disiplin,” katanya.

Walau bagaimanapun, Saifuddin berkata, pada 6 Januari 2026, beliau menerima Notis Pemecatan Keahlian BERSATU daripada Lembaga Disiplin atas alasan ringkas iaitu tindakan beliau didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.

Beliau turut memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemecatan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button