POLITIK

Khaled ingatkan calon, penyokong elak fitnah sepanjang kempen PRN Melaka

TELOK MAS – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu memberi tumpuan kepada peluang rakyat menilai kepimpinan dan menentukan kerajaan pilihan mereka, bukannya dicemari tindakan menyebarkan fitnah atau mencetuskan kekecohan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak sewajarnya menghormati proses demokrasi dengan memastikan kempen berlangsung dalam suasana aman dan terkawal.

Beliau berkata, keadaan kempen PRN Melaka setakat ini yang disifatkan tenang adalah perkembangan positif kerana memberi ruang kepada pengundi membuat pertimbangan secara rasional.

“Kita sebenarnya meraikan demokrasi. Demokrasi adalah masa di mana rakyat berpeluang untuk menentukan kerajaan dan kepimpinan yang dia hendak.

“Sewajarnya tidak sepatutnya ada soal dalam masa berkempen fitnah ataupun terjerit-jerit dan sebagainya.

“Kita nampak di Melaka ini tenang-tenang sahaja dan ini sesuatu yang sangat menggembirakan,” katanya pada sidang media selepas program penyerahan projek Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, suasana kempen yang harmoni penting bagi memastikan keputusan pengundi dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang, bukannya dipengaruhi emosi.

“Dengan demikian, kita percaya rakyat dapat buat keputusan dengan tenang, dengan baik, dengan menggunakan rasional, dengan logik.

“Dan tentunya keputusan oleh rakyat itu akan menggambarkan satu keputusan yang benar-benar bijaksana dan baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 73 projek Program Jiwa Murni dilaksanakan di seluruh negara tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM4 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 28 projek bernilai RM1.13 juta dilaksanakan di Melaka, dengan 15 daripadanya sudah siap, lima sedang dalam pelaksanaan manakala lapan lagi bakal dilaksanakan.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan gotong-royong yang membabitkan penyertaan anggota tentera bersama masyarakat setempat.

Beliau berkata, program itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kerjasama awam-ketenteraan (Civilian-Military Co-operation atau CIMIC) bagi mempererat hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat.

“Program ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kerjasama awam-ketenteraan (Civilian-Military Co-operation atau CIMIC) bagi mengeratkan hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat.

“Sesuai dengan matlamat untuk membina keyakinan rakyat terhadap ATM, selain memastikan anggota tentera menyedari sokongan masyarakat terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam mempertahankan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button