POLITIK

PRK Ayer Kuning: PN berisiko kehilangan 32 kerusi jika kerjasama PH-BN diteruskan

TAPAH – Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning kini menjadi medan penilaian penting bagi parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), khususnya bagi Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Centre for Fundamental and Education, Universiti Malaysia Terengganu, Prof Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim berkata, sekiranya kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan, PN berisiko kehilangan sekurang-kurangnya 32 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU-15 lalu.

Jelas Mohd Yusri, penilaian tersebut dibuat berdasarkan undi yang diperolehi berbanding campuran undi sedia ada PH-BN.

“Hilang 32 daripada 74 kerusi bukanlah sesuatu yang diingini oleh PN, bahkan akan jadi mimpi ngeri jika benar-benar berlaku nanti,” katanya dalam wacana politik terbarunya baru-baru ini.

Dalam ulasannya, Mohd Yusri menegaskan Pas sebagai parti politik berpengalaman luas yang memegang peranan penting dalam kekuatan sebenar PN.

“Saya kurang sentuh tentang Bersatu kerana kekuatan sebenar akar umbi PN adalah Pas, setiap kali pilihan raya, Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan jentera Pas

“Sekiranya Pas memilih untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu, parti itu berisiko mengulang nasib Pejuang yang kini hampir lenyap dari radar politik negara.

“Jika Pas memilih untuk tinggalkan kerjasama dengan Bersatu dan mereka gagal menumpang mana-mana parti dalam PRU akan datang, Bersatu berisiko hilang dalam radar politik tanah air,” tegas Mohd Yusri.

Risiko kehilangan kerusi di negeri-negeri tertentu

Dalam analisisnya, Mohd Yusri menyatakan sejumlah kerusi di beberapa negeri berada dalam risiko besar, seperti Perak, iaitu negeri tempat sedang berlangsung PRK Ayer Kuning.

“Jika kerjasama PH-BN diteruskan, PN berisiko kehilangan lapan kerusi di Perak sahaja. Antara kerusi yang berisiko hilang di Perak adalah Gerik, Parit Buntar, Bukit Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut.

“Pahang berpotensi kehilangan tujuh kerusi, Selangor enam kerusi, Melaka dan Pulau Pinang masing-masing tiga kerusi serta Kedah dan Perlis masing-masing satu kerusi.

“Johor berisiko hilang dua kerusi iaitu di Mersing dan paling menarik kerusi yang sedang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Pengerusi PN di Pagoh juga termasuk dalam senarai,” ujar beliau.

Pas membina semula hubungan bersama UMNO

Sementara itu, Mohd Yusri juga mengulas mengenai pendekatan Pas dalam kempen PRK Ayer Kuning, yang dilihat lebih berhati-hati dan kurang menyerang UMNO.

Beliau berkata, sepanjang kempen PRK ini Pas tidak banyak menyerang UMNO memandangkan mereka tidak berhasrat untuk membakar sisa-sisa runtuhan piagam muafakat yang ditandatangani sebelum ini.

“Ini menunjukkan bahawa Pas berusaha untuk membina semula hubungan dengan UMNO dan berharap puing-puing tersebut boleh dikutip, disusun dan dipaku semula untuk membina mahligai baru,” katanya.

Dengan senario politik yang semakin kompleks, Mohd Yusri menyimpulkan bahawa PRK Ayer Kuning akan terus menjadi medan penting dalam menentukan kerjasama politik menjelang PRU16.

“Kerjasama antara UMNO/BN dan PH mungkin akan menentukan masa depan politik negara dan Pas akan berusaha untuk memastikan PN tetap relevan dalam persaingan politik yang semakin sengit,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button