POLITIK

Pembangkang sebar ketakutan isu had tempoh PM – Sheikh Umar

JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, menyifatkan Perikatan Nasional (PN) cuba menyebarkan ketakutan tidak berasas berhubung cadangan mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Menurutnya, kenyataan Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden melalui satu hantaran Facebooknya menggambarkan seolah-olah keputusan itu merugikan kaum majoriti tidak tepat dan hanya bertujuan menimbulkan keresahan.

“Pandangan Afnan langsung tidak berasas apabila beliau menulis bahawa ‘nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti’.

Pembangkang sebar ketakutan isu had tempoh PM – Sheikh Umar
Afnan Hamimi Taib Azamudden

“Afnan cuba menaratifkan isu ini secara negatif dan mencetuskan ketakutan yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, cadangan mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal yang dipersetujui oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah untuk mengelakkan pemusatan kuasa yang terlalu lama.

“Langkah itu penting bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan pemerintahan kuku besi. Ia telah pun diamalkan di beberapa negara seperti Indonesia dan Amerika Syarikat yang menghadkan tempoh pentadbiran kepada dua penggal,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, reformasi itu perlu disokong dengan pembaharuan lain seperti pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan sistem semak dan imbang yang lebih kukuh.

“Perkara itu merupakan antara inti pati reformasi yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri dan didukung oleh DAP serta Pakatan Harapan.

“Malangnya, pembangkang masih terperangkap dalam pemikiran sempit perkauman dan gagal memahami isu itu secara menyeluruh,” tambahnya.

Sheikh Umar menyeru agar perbahasan mengenai isu itu dilakukan secara matang dengan berlandaskan fakta dan kepentingan rakyat, bukan dengan menyebarkan ketakutan yang tidak berasas.

Pembangkang sebar ketakutan isu had tempoh PM – Sheikh Umar

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button