BERITA SEMASA

Kajian kerugian pesawah dijangka selesai hujung November – Luqman

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka memperoleh keputusan kajian berhubung dakwaan kerugian pesawah susulan isu kelewatan baja menjelang akhir November ini sebelum menentukan keperluan serta kaedah pembayaran pampasan kepada golongan itu.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, sebarang keputusan berkaitan pampasan perlu dibuat berdasarkan data dan bukti yang sahih, bukannya andaian semata-mata.

Beliau berkata, kajian masih dijalankan bagi menilai keadaan sebenar berdasarkan proses pemotongan padi yang sedang berlangsung.

“Setakat ini, berdasarkan pemotongan padi yang masih berlaku, kita dapati pada Musim 1 2026 berbanding Musim 1 2025 berlaku peningkatan.

“Ini secara umum setakat ini, saya tak kata ini adalah final, setakat ini berlaku peningkatan. Jadi isu berkaitan pampasan setakat ini belum dapat dibuktikan. Walaubagaimanapun kajian masih lagi berjalan.

“Insya-Allah, menjelang akhir November, kita akan dapat keputusan kajian yang kita jalankan untuk memastikan berlakunya kerugian di pihak petani dan kerajaan akan memikirkan kaedah pampasan,” katanya pada sidang media khas di kilang padi Mukim Tasek Berangan, di Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Menurutnya, hasil kajian itu akan dikemukakan kepada pihak atasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk dibawa ke Kabinet bagi pertimbangan dan keputusan termasuk proses mendapatkan peruntukan jika pampasan dipersetujui.

Ujarnya, keputusan kajian itu penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti sama ada kerugian benar-benar berlaku, pihak yang layak menerima pampasan serta jumlah yang sewajarnya dibayar.

“Kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan yang digunakan bagi tujuan itu disokong data yang kukuh kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya.

Justeru tegasnya, sebarang pembayaran perlu mempunyai asas yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.

“Kita nak elak daripada bertindak atas asas andaian. Kalau berlaku kerugian di pihak petani, kita kena pastikan berapa amaun yang kerajaan perlu sediakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Luqman berkata isu kelewatan bekalan baja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebelum ini telah ditangani melalui pelantikan sebuah syarikat bagi membantu memastikan bekalan berkenaan sampai kepada pesawah.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi menyelesaikan masalah yang timbul dan memastikan pelaksanaan program kerajaan dapat diteruskan demi kepentingan golongan sasar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button