BERITA SEMASA

RMK13 perkasa ekonomi nilai tinggi, TVET jadi tumpuan utama

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri hari ini sebagai satu dokumen penting yang hadir tepat pada masanya ketika negara berhadapan dengan cabaran ekonomi global serta gangguan rantaian bekalan.

Menurutnya, fokus utama RMK13 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi melalui penciptaan nilai, digitalisasi dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) menunjukkan komitmen kerajaan untuk membina ekonomi yang mampan dan inklusif.

“Saya amat tertarik dengan pendekatan ‘High Growth, High Value’ dalam sektor-sektor strategik yang bukan sahaja menjamin pertumbuhan ekonomi tetapi juga bersifat inklusif dan menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan RMK13 di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana terus memberi perhatian kepada pembangunan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan terhadap usaha memperkasakan TVET, termasuk usaha penyelarasan gaji minimum yang melebihi paras syarat semasa dan pelaksanaan gaji premium berasaskan kemahiran.

“Langkah ini akan mengubah landskap pekerjaan teknikal negara yang selama ini terlalu bergantung kepada buruh tanpa kemahiran, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan penerapan 132 inisiatif yang digariskan dalam resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (Putra 35) ke dalam RMK13.

“Ini membuktikan bahawa resolusi yang dicapai dalam Kongres Ekonomi tempoh hari bukan hanya satu cadangan, tetapi diangkat sebagai dasar kerajaan bagi manfaat semua golongan di bandar, luar bandar, Sabah dan Sarawak,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai pengurusan bencana, Zahid berkata, perancangan jangka panjang yang diketengahkan dalam RMK13 akan dapat memberikan penyelesaian bersifat mitigasi terhadap isu banjir yang selama ini ditangani secara berasingan.

“Saya yakin pendekatan kali ini lebih menyeluruh dan akan memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi bencana secara sistematik,” katanya lagi.

Tambah beliau, semua kementerian dan agensi di bawah tanggungjawabnya akan terus memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan inisiatif yang digariskan demi manfaat rakyat dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button