BERITA SEMASADALAM NEGERI

DBP perkukuh diplomasi ilmu dengan pelancaran enam ensiklopedia

KUALA LUMPUR – Usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu terus diperkasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pelancaran enam ensiklopedia baharu merangkumi pelbagai bidang pengetahuan.

Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada 22 penterjemah dan enam pentashih bagi projek Ensiklopedia Hadis Nilai (Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerbitan ensiklopedia bukan sekadar pengumpulan fakta, sebaliknya merupakan infrastruktur intelektual bangsa yang membimbing arah ketamadunan serta meneguhkan jati diri negara.

“Ensiklopedia ialah pelaburan jangka panjang, bukti keyakinan kita untuk membina sebuah masyarakat berpengetahuan, berdaya cipta dan berwibawa serta mampu bersaing di pentas dunia,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut kelmarin.

Beliau turut menegaskan bahawa DBP adalah institusi paling layak memikul tanggungjawab itu berdasarkan rekodnya sejak 1956 sebagai nadi persuratan bangsa, benteng bahasa dan wadah ilmu.

Antara ensiklopedia yang dilancarkan ialah Ensiklopedia Sastera Melayu, Ensiklopedia Ikan Air Laut, Ensiklopedia Penyakit Berjangkit, Ensiklopedia Ikan Air Tawar, Ensiklopedia Serangga dan Ensiklopedia Sains Nuklear.

Mengenai Ensiklopedia Hadis Nilai, Ahmad Zahid berkata penerbitannya amat signifikan dalam memastikan hadis terus menjadi rujukan sahih pada era digital.

Beliau turut menggariskan tiga langkah penting agar penerbitan ensiklopedia terus relevan iaitu pendigitalan, pengantarabangsaan dan integrasi pendidikan.

Projek terjemahan karya asal berbahasa Arab itu ke dalam bahasa Melayu mengandungi 3,788 hadis dengan pendekatan tematik merangkumi aspek keimanan, kemasyarakatan, akhlak, politik, pentadbiran, ekonomi, keilmuan, kesihatan, alam sekitar, emosi dan estetika.

Karya tersebut diterbitkan di Amman, Jordan pada tahun 2022 oleh tiga ilmuwan hadis iaitu Dr Humam Abdul Rahim Said, Dr Ahmad Muhammad Barhum dan Dr Muhammad Humam Milhem sebelum diterjemah dan disemak untuk edisi bahasa Melayu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button