Ahmad Zahid akan jumpa Akmal, dapatkan penjelasan mengenai ‘melawan DAP hingga ke akhir’
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai EXCO Melaka untuk “melawan DAP hingga ke akhir”.
Zahid berkata, beliau mahu memahami siapa yang dimaksudkan sebagai sasaran oleh Akmal dan bentuk “serangan” yang dirancang.
“Saya mahu dengar sendiri daripada beliau, siapa yang hendak disasarnya dan dalam bentuk apa,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Akmal bahawa beliau akan lebih lantang mengkritik DAP susulan keputusannya meletakkan jawatan.
Beliau turut menambah, keputusan Akmal itu wajar dihormati kerana ia merupakan keputusan peribadi.
Terdahulu, Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, dengan alasan komitmennya untuk membawa suara akar umbi serta meneruskan perjuangan menentang DAP.
“Saya dengan ini memohon maaf, dan sebagai bukti bahawa saya membawa suara akar umbi UMNO, saya meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka. Namun, saya tidak akan meninggalkan Pemuda,” katanya dalam ucapan dasar sempena PAU 2025, hari ini.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Akmal lantang menyuarakan pandangan mengenai penilaian semula peranan UMNO dalam kerajaan perpaduan serta menggesa kerjasama lebih rapat dengan PAS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








