BERITA SEMASA

Keharmonian keluarga, psikologi teras utama SPRM perangi jenayah kolar putih

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengintegrasikan aspek kesejahteraan psikologi dan keharmonian kekeluargaan sebagai teras utama dalam membentuk warga kerja berprestasi tinggi dalam memerangi jenayah kolar putih.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pembentukan warga kerja profesional dan berintegriti tidak seharusnya meminggirkan aspek kestabilan emosi, kesejahteraan psikologi serta kehidupan peribadi pegawai.

sprm
KIPS 5.0 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini dianjurkan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Hari Kesihatan Mental Sedunia, dengan penyertaan kira-kira 300 peserta. – GAMBAR IHSAN SPRM

“Dalam usaha membentuk warga kerja yang berintegriti, kita juga perlu memberikan perhatian kepada aspek kesejahteraan psikologi dan kehidupan peribadi mereka.

“Di sebalik ketegasan seorang pegawai penguat kuasa, tersimpan pelbagai cabaran emosi. Di sebalik kesungguhan seorang penyiasat melaksanakan amanah, terdapat tanggungjawab keluarga yang menuntut perhatian. Inilah realiti kehidupan yang perlu kita fahami,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Integriti dan Psikologi SPRM (KIPS 5.0) Tahun 2026 di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PUSPANITA SPRM, Datin Seri Safiah Md Tahir; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan isteri, Datin Sri Nurul Hidayah Seah Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM, Datuk Ruziati Mior Ahamad Ariffin; Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM merangkap Ketua Penyelaras KIPS 5.0, Syed Mohamad Tarmizi Said Musa; Pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.

Abd Halim seterusnya berkata, rumah tangga yang harmoni boleh menjadi sumber ketenangan, mendapat sokongan emosi dan sumber kekuatan untuk menghadapi tekanan kehidupan.

Menurutnya, penganjuran KIPS 5.0 yang bertemakan “Kasih Dipupuk, Cinta Dipelihara, Harmoni Tercipta” turut menjadi platform memperkukuh pembudayaan integriti, kesihatan mental serta mewujudkan persekitaran kerja yang positif dalam kalangan warga SPRM.

“Penganjuran konvensyen seumpama ini dapat membangunkan warga kerja SPRM yang bukan sahaja memiliki kecekapan dan kemahiran profesional malah turut sejahtera dari segi psikologi, kematangan dari segi emosi serta kekuatan nilai dalam menjalankan kehidupan seharian,” katanya.

Beliau kemudiannya menyeru warga kerja SPRM supaya mengimbangi kecemerlangan kerjaya dan kebahagiaan rumah tangga berasaskan nilai tanggungjawab, kebijaksanaan, serta persefahaman.

KIPS 5.0 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini dianjurkan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Hari Kesihatan Mental Sedunia, dengan penyertaan kira-kira 300 peserta.

Program itu turut diserikan dengan majlis peluncuran KIPS 5.0, sesi bual bicara dan forum yang menampilkan beberapa personaliti termasuk Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, Fadzli Aziz, Datuk Sharhan Shafie, Dr Derrick Chow Chun Hoe, Sabri Yunus dan Dr Fatimah Syarha Ismail serta Hajah Sarina.

Turut diadakan reruai jualan membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button