Rasuah Program RTK: SPRM mohon pembekuan akaun RM3.1 juta
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memohon membekukan 36 akaun berjumlah lebih RM3.1 juta susulan penahanan 11 individu membabitkan 10 pegawai agensi penguat kuasa serta seorang pesara agensi berkenaan.
Mereka sebelum ini ditahan dalam Op Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan penahanan mereka, SPRM sudah memohon membekukan 36 akaun bank dengan jumlah RM3,121,813.10.
Menurutnya, selain itu, SPRM turut menyita empat kereta, lima motosikal, dua gold bar seberat 0.3 gram dianggarkan bernilai RM150, empat utas barang kemas dianggar RM7,000 dan wang tunai RM116,702.
“Berdasarkan hasil siasatan, rasuah yang diterima adalah bagi mempercepatkan proses RTK yang dianggarkan sebanyak RM600 untuk setiap pekerja asing.
“Mereka yang ditahan itu adalah bermula gred KP19/KP1 hingga KP38/KP7,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Azam berkata, semua tujuh individu yang ditahan reman sehingga hari ini dibebaskan dengan jaminan.
“Setakat ini tiada tangkapan baharu dan seramai tujuh saksi sudah dipanggil bagi merakam percakapan,” katanya.
Menurut sumber, semua suspek membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Periskan SPRM 12 November lalu.
“Semua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.
“Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








