BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kementerian Komunikasi tunggu laporan SPRM berhubung dua wartawan ditahan Op Sohor

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi masih menunggu laporan rasmi berhubung penahanan dua wartawan dalam talian bersama 10 individu lain oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sohor di selatan tanah air.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini beliau belum menerima maklumat lanjut daripada SPRM dan akan menghubungi suruhanjaya itu untuk mendapatkan kepastian.

“Sekiranya terdapat sebarang perkara yang melanggar syarat berkaitan kad perakuan media, saya akan meminta Jabatan Penerangan mengambil tindakan sewajarnya.

“Tapi waktu ini, kita sedang menunggu laporan dan permakluman rasmi daripada pihak SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, semalam.

Terdahulu, Op Sohor yang dijalankan Rabu lalu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dipercayai didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Operasi yang dikendalikan Bahagian Perisikan SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten, selain lima orang awam berusia lingkungan 30 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang.

Siasatan lanjut mendapati, dua daripada 10 individu yang ditahan merupakan wartawan agensi media dalam talian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, kedua-duanya memilih untuk bersara awal daripada perkhidmatan sebelum berkhidmat sebagai wartawan di sebuah syarikat media.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button