Malaysia catat 42.19 juta pelawat pada 2025, lonjak 11.2 peratus atasi purata global
PUTRAJAYA – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan apabila merekodkan 42.19 juta pelawat antarabangsa sepanjang tahun 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding 37.96 juta yang dicatatkan pada 2024.
Perkembangan positif itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri menerusi laporan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kadar pertumbuhan 11.2 peratus tersebut jauh mengatasi purata peningkatan global sebanyak empat peratus dan enam peratus bagi rantau Asia Pasifik.
“Pencapaian ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi utama yang terus diyakini pelawat antarabangsa,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Jemaah Menteri turut diberi taklimat mengenai hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura yang disifatkan berjaya mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menurutnya, pelbagai perkara dibincangkan termasuk isu berkaitan air serta perkara lain yang sedang diuruskan menerusi siri perbincangan antara kepimpinan tertinggi Malaysia dan Singapura.
Sementara itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut berkongsi hasil lawatan pembangunan daerah ke Bentong pada 22 Januari lalu dan akan meneruskan siri jelajah sama ke Kinta, Perak pada hujung Februari ini.
“Beliau turut menggesa lebih ramai menteri turun padang bagi memastikan isu pembangunan di peringkat daerah diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








