
Projek SMART600 di Sarawak bermula seawal Januari 2024 – Fahmi
KUALA LUMPUR – Projek SMART600 yang melibatkan pembinaan dan pengendalian 600 buah menara telekomunikasi bagi penyediaan perkhidmatan 4G di negeri Sarawak akan beroperasi secara berperingkat dan dijangka bermula seawal Januari 2024, kata Fahmi Fadzil.
Walau bagaimanapun, Fahmi berkata lokasi menara-menara SMART600 yang terletak di kawasan pedalaman membuatkan pulangan komersialnya adalah amat terhad.
Katanya, hal tersebut menyebabkan pihak penyedia perkhidmatan mudah alih sukar untuk mencapai persetujuan secara komersial dengan pengendali menara tersebut bagi penyediaan perkhidmatan 4G.
“Hal ini, sekali gus menjadi punca kepada wujudnya menara-menara ‘tanpa kuali’ di negeri Sarawak,” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi memastikan perkhidmatan 4G dapat disediakan di kawasan tersebut, secara dasarnya, Kerajaan Persekutuan dan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications telah bersetuju untuk berkongsi kos yang perlu dibayar kepada pengendali menara tersebut.
Katanya, pembiayaan dari Kerajaan Persekutuan dan pihak syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih melibatkan satu jumlah yang tidak melebihi RM207 juta iaitu RM119.4 juta oleh Kerajaan Persekutuan melalui MCMC dan Kementerian Kewangan, dan RM87.3 juta oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih untuk menara-menara yang berkaitan bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2024 sehingga tahun 2026.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, selepas tempoh tiga tahun syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih akan menanggung sepenuhnya kos bayaran kepada pengendali menara.
“Sebanyak 3,000 kawasan pedalaman dan luar bandar telah dikenal pasti dan akan mendapat manfaat di bawah inisiatif ini.
“Dengan adanya inisiatif ini, ianya akan menamatkan isu menara ‘tanpa kuali’ yang telah berlarutan sejak tahun 2019 di negeri Sarawak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








