133,348 kandungan berunsur penipuan di media sosial diturunkan hingga September lalu – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi komited memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian dan perbuatan buli siber melalui pelaksanaan pelbagai langkah penguatkuasaan dan kolaborasi antara agensi kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jenayah scam dan buli siber berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Kanun Keseksaan [Akta 574], namun pendekatan menyeluruh kerajaan diperlukan bagi memastikan keberkesanan tindakan.
“Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah dalam bentuk bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi melancarkan siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan hari ini.
Fahmi berkata, antara Januari 2022 hingga September 2025, MCMC telah memohon penurunan 139,880 kandungan berunsur penipuan dengan 133,348 kandungan berjaya diturunkan atau 95 peratus daripada jumlah tersebut.
“Bagi kandungan berunsur buli, 38,470 daripada 50,160 permohonan telah dilaksanakan, iaitu kadar penurunan sebanyak 77 peratus.
“Langkah tambahan turut diambil dengan memperkenalkan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial, yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya lagi.
Langkah itu memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab terhadap pengurusan kandungan serta operasi mereka di Malaysia.
Selain itu, Kod Tatalaku Amalan Terbaik bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang diterbitkan pada 20 Disember 2024 turut menetapkan garis panduan melindungi pengguna daripada kandungan yang memudaratkan.
“Melalui pindaan kepada Seksyen 233(1) Akta 588, kandungan palsu yang disebarkan dengan niat menipu kini boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.
Kerajaan juga telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] untuk meningkatkan keselamatan siber dan mengawal selia kandungan berbahaya. MCMC kini sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah akta berkenaan bagi memperkukuh aspek pengurusan risiko dalam talian.
Fahmi turut berkata, dalam usaha menyeluruh menangani isu buli siber, Jawatankuasa Khas Buli Siber ditubuhkan selepas keputusan Jemaah Menteri pada Julai 2024, yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
“Jawatankuasa itu disokong oleh MCMC, PDRM dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan tindakan bersepadu dapat diambil, termasuk melalui platform Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM–MCMC yang memudahkan respons pantas terhadap kes jenayah dalam talian,” katanya lagi.
Terbaharu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos 2025 turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bagi menggubal dasar dan undang-undang baharu yang merangkumi aspek pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








