BERITA SEMASA

Cadangan BDR industri media diteliti, keputusan dijangka dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR – Keperluan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi industri media kini sedang diperhalusi dan dijangka diputuskan dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak kementerian akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Media Malaysia (MMM) serta organisasi media sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menurutnya, antara aspek utama yang diberi perhatian adalah melibatkan kebajikan pekerja dalam sektor media selain maklum balas industri terhadap pelaksanaan dasar tersebut.

“Antara perkara yang akan diteliti termasuk kebajikan pekerja serta pandangan industri media berkaitan dasar BDR.

“Saya juga akan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Penerangan yang mengeluarkan kad perakuan media untuk dipanjangkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Kabinet dalam masa terdekat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April ini susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api di samping memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.

Dalam pada itu, antara syarat ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk jarak perjalanan sehala melebihi lapan kilometer dari rumah ke pejabat.

Selain itu, pelaksanaan BDR turut melibatkan pegawai yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button