BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASIPMX

Kerajaan MADANI giat kemudi geopolitik

KUALA LUMPUR – Pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang disiarkan secara rasmi oleh RTM semalam, dianggap sebagai satu detik bersejarah dan penuh makna.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pertemuan itu sebagai penghormatan yang diberikan Rusia kepada PM dan negara Malaysia.

“Pada masa yang sama, kita melihat usaha Perdana Menteri dan kerajaan MADANI untuk mengemudi apa yang dipanggil geopolitik masa kini sedang rancak dilaksanakan.

fahmi fadzil
Fahmi menyifatkan pertemuan itu sebagai penghormatan yang diberikan Rusia kepada Perdana Menteri dan negara Malaysia.

“Baru-baru ini, Presiden China, Xi Jinping telah melakukan lawatan negara dan kita lihat bagaimana hubungan yang erat membolehkan rakyat menerima manfaat dan limpahan ekonomi.

“Pada 26 dan 27 Mei pula, kita di Malaysia khususnya di Lembah Klang akan menjadi saksi kepada tiga Sidang Kemuncak ASEAN di mana kita sebagai Pengerusi dan tuan rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri hari ini.

Menurut beliau, keberadaan sidang kemuncak itu sangat bermakna dan memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

“Ini penting kalau kita lihat pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif kepada pelbagai negara termasuk Malaysia dan rakan-rakan ASEAN.

“Ia menunjukkan kita perlu mengambil langkah proaktif untuk membantu negara ASEAN sempena menjadi Pengerusi ASEAN.

“Antaranya menentukan libat urus dengan AS, mengurangkan ketegangan dan mencari jalan supaya aktiviti perdagangan dapat dijalankan dalam keadaan yang sihat dan selamat serta harga barang dapat dikawal dan limpahan ekonomi dapat dinikmati,” jelas beliau.

Justeru, Fahmi berharap Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Jabatan Penerangan (JaPEN) dapat membantu rakyat Malaysia memahami kepentingan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak tersebut.

“Manfaat sidang kemuncak ini jauh melebihi sekadar limpahan ekonomi yang dapat dilihat secara fizikal.

“Malaysia, dengan kedudukannya sebagai tuan rumah, berpeluang untuk memimpin beberapa perbincangan penting yang akan memberikan hasil positif untuk negara dan rantau ASEAN secara keseluruhan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button