DAP keluar PH? Fahmi minta jangan dahului keputusan perwakilan
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mahu mendahului keputusan DAP berhubung hala tuju parti itu dalam Pakatan Harapan (PH), termasuk kemungkinan mengambil tindakan untuk keluar daripada gabungan berkenaan.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu adalah hak perwakilan DAP untuk diputuskan, justeru semua pihak perlu menghormati proses demokrasi berkenaan.
“Itu hak mereka. Saya tak boleh mendahului apa-apa yang ingin diputuskan oleh perwakilan. Itu hak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan DAP mengambil tindakan lebih agresif untuk keluar daripada PH susulan konvensyen parti berkenaan pada 16 Ogos ini.
Fahmi berkata, komitmen rakan-rakan dalam PH dan Kerajaan Perpaduan secara umumnya kekal untuk meneruskan usaha memperbaiki keadaan negara, termasuk menyelesaikan pelbagai isu yang masih berbangkit.
“Banyak yang perlu kita rungkaikan masalah dalam Tabung Haji contohnya 75 peratus daripada syor laporan RCI Tabung Haji telah dilaksana tapi masih ada perkara-perkara yang perlu kita uruskan.
“Jadi Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan banyak daripada penambahbaikan dan reform yang perlu ini,” katanya.
Mengulas sama ada pengunduran DAP akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata tiada sebarang kenyataan daripada parti itu yang menunjukkan keputusan sedemikian sudah dibuat.
“Dia tidak ada kata buat kenyataan macam itu, jadi jangan mendahului mana-mana pihak. Kita bukan macam setengah pihak yang telah mengatakan parti sekian-sekian telah secara automatik keluar daripada gabungan.
“Bukan macam itu. Sikap kita bukan macam itu. Dalam demokrasi kita duduk, kita bincang, kita teliti apakah keutamaan yang perlu kita berikan,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat, selain memastikan keadaan ekonomi dan ekonomi poket rakyat terus menjadi fokus.
“Keutamaan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat, ekonomi dan juga pastikan ekonomi rakyat, ekonomi poket rakyat itu menjadi fokus.
“Jadi saya juga percaya yang amat berhormat Perdana Menteri dalam masa yang tak terlalu lama akan membuat beberapa pengumuman yang insya-Allah sangat baik untuk bukan hanya rakyat tapi untuk kerajaan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal, Fahmi menafikannya dan menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian ketika ini.
“Tidak, tidak ada. PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan.
“Dan fokus Kerajaan Persekutuan dan kita dah dengar komitmen daripada rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bahawa mereka akan kekal dengan menyokong Datuk Seri Arnold Ibrahim sehingga akhir penggal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








