PRN Melaka: PH-BN mula runding setelah keputusan Pusat dimuktamadkan
KUALA LUMPUR – Rundingan bagi mewujudkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimulakan setelah beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO dan BN Pusat dimuktamadkan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah menghubungi Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang memaklumkan bahawa beliau masih menunggu keputusan berkenaan sebelum meneruskan perbincangan, lapor NST.
“Apabila Rauf sudah bersedia. Saya sebenarnya sudah berhubung dengannya.
“Beliau berkata, sedang menunggu beberapa keputusan dasar di peringkat pusat UMNO dan BN sebelum meneruskan perbincangan,” katanya selepas hadir merasmikan Program MADANI Kita bersama komuniti Ampang Jaya, di sini hari ini.
Amiruddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, PH kekal terbuka kepada rundingan dan menggesa kedua-dua pihak mendekati perbincangan berkenaan dengan penuh keikhlasan.
Beliau berkata PH sebelum ini sudah menunjukkan kesediaan untuk berkompromi, termasuk memberi laluan kepada BN untuk bertanding di beberapa kerusi yang dimenangi PH di Selangor.
“Kami ikhlas dalam perbincangan. Malah, kami sanggup berkongsi kawasan yang kami menangi di Selangor. Itu menunjukkan kejujuran kami dalam rundingan,” katanya lagi.
Ketika diminta mengulas sama ada PH akan mempertimbangkan untuk bertanding di luar 21 kerusi yang dijangka menjadi sasaran parti itu di Melaka, Amirudin berkata, kerusi berkenaan adalah kawasan yang sepatutnya ditandingi PH, namun beliau tidak mahu membuat keputusan terlalu awal sebelum rundingan bermula.
“Itulah kerusi yang sepatutnya kami tandingi, tetapi kita lihat bagaimana perbincangan berjalan.
“Kami masih belum memulakan rundingan, jadi saya tidak mahu membuat keputusan terlalu awal,” katanya.
Amirudin turut menggesa parti politik supaya tidak menetapkan syarat sebelum rundingan bermula, sambil berkata kerjasama akan menjadi sukar sekiranya sesebuah parti berkeras hanya mahu bertanding di kerusi yang pernah kalah.
“Jangan letakkan syarat sebelum rundingan. Kalau mengatakan hanya mahu bertanding di kawasan yang pernah kita kalah, ia akan menjadi sukar,” katanya.
Beliau berkata parti politik perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan, selain menegaskan bahawa sebarang kerjasama harus berasaskan keikhlasan serta komitmen jelas untuk mengekalkan kestabilan dan kemakmuran yang dicapai di bawah kerajaan perpaduan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








