Float KPM-KPT simbol kesinambungan Pendidikan MADANI
PUTRAJAYA – Dataran Putrajaya menjadi saksi kesungguhan kontinjen Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membuat persiapan menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Menerusi perkongsian di saluran WhatsApp KPM, persiapan itu melibatkan setiap anggota kontinjen yang menjalani latihan secara berdisiplin.
“Setiap langkah disusun, setiap pergerakan diperkemas dan setiap formasi digerakkan dengan penuh disiplin,” tulis KPM.
Antara yang bakal mencuri perhatian ialah kemunculan float KPM dan KPT yang membawa simbol kesinambungan sistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga ke institusi pendidikan tinggi.
Kemunculan float berkenaan bukan sekadar sebahagian daripada perarakan, malah mencerminkan semangat dan aspirasi Pendidikan MADANI dalam membangunkan generasi berilmu, berkemahiran serta mampu menjadi pemacu masa depan negara.

“Dari Dataran Putrajaya, satu semangat disatukan. Satu tekad diperjuangkan,” katanya lagi.
Tambah KPM, video persiapan kontinjen itu dihasilkan oleh dua murid Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur iaitu Syakura Aisy Syamsul Arifin dan Arissa Dalia Hamidan.
Penghasilan video berkenaan dilakukan di bawah bimbingan Cikgu Shirley Henry Tugak dan Abdul Raouf Ruzaidin sekali gus mengetengahkan bakat seni dan kreativiti murid dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Penyertaan warga pendidikan dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2026 turut membawa mesej bahawa guru dan institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang menjadi nadi pembangunan negara.
Dengan tema ‘Tahun Ini, Tahun Kita’, semangat sambutan kemerdekaan turut disemarakkan menerusi aspirasi ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ sebagai penghargaan terhadap peranan guru dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








