BERITA SEMASA

Boikot RCI Tabung Haji bermakna boikot amanah jutaan pendeposit – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tindakan wakil pembangkang memboikot Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai tindakan yang akhirnya menjejaskan amanah kepada jutaan pendeposit.

Syed Saddiq berkata, keputusan untuk terus menyertai perbahasan dibuat kerana isu membabitkan institusi berkenaan lebih besar daripada kepentingan mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan kira-kira 10 juta pendeposit umat Islam.

“Bukan boikot Perdana Menteri tetapi kita boikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji. Sebab itu saya pilih untuk tidak boikot dan bahas ikut fakta supaya umat Islam dibela,” katanya sebelum membahaskan RCI TH di Dewan Rakyat hari ini.

Baca juga : Lebih 75 peratus syor RCI Tabung Haji telah dilaksanakan – Menteri Agama

Terdahulu, wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan RCI TH di Dewan Rakyat pagi ini.

Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurut Syed Saddiq, beliau bersetuju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberikan jawapan terhadap isu berkenaan selepas kembali sihat, selain mengakui terdapat banyak kritikan terhadap cara kerajaan mengurus negara dan pelan pemulihan Tabung Haji.

Namun, beliau tidak bersetuju tanggungjawab 222 Ahli Parlimen yang sihat perlu terhenti hanya kerana Perdana Menteri tidak hadir ke sidang perbahasan hari ini susulan kurang sihat.

“Perdana Menteri kena jawab bila dia kembali sihat dan saya setuju ada banyak kritikan berkenaan cara kerajaan urus negara dan pelan pemulihan Tabung Haji.

“Tapi Muar tidak bersetuju tanggungjawab 222 Ahli Parlimen yang sihat perlu terhenti kerana seorang PM kurang sihat. Parlimen bukan medan pertunjukkan seorang individu sahaja,” katanya.

Tegas beliau, Ahli Parlimen menerima bayaran, pencen dan elaun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, termasuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Yang sakit Perdana Menteri tetapi yang tidak buat kerja kita Ahli Parlimen pula yang dibayar puluhan ribu dan dapat pencen dan elaun hanya untuk mainkan peranan semak dan imbang,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, laporan RCI berkenaan bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya membabitkan kepentingan kira-kira 10 juta pendeposit Tabung Haji.

“Jelas RCI ini bukan milik mana-mana PM atau parti. Realitinya ia milik 10 juta pendeposit umat Islam yang harapkan MP cari solusi supaya nasib dan maruah mereka terbela.

“Kalau ada fakta bahas dan salah bongkarkan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan pembangkang yang sebelum ini lantang membawa isu Melayu dan Islam tetapi memilih untuk memboikot perbahasan mengenai Tabung Haji sebagai sesuatu yang malang.

“Malang sekali kita di pihak pembangkang yang paling lantang bawa Melayu Islam tapi pilih untuk boikot perbahasan mengenai institusi terpenting bagi Melayu Islam kita.

“Bukan boikot PM tetapi kita boikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji. Sebab itu saya pilih untuk tidak boikot dan bahas ikut fakta supaya umat Islam dibela,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button