BERITA SEMASAPMX

Ketika banyak negara berpecah, Malaysia pilih untuk bersatu – PM

PUTRAJAYA – Pembentukan Malaysia pada 1963 menjadi antara detik penting dalam sejarah dunia apabila Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak memilih untuk bergabung membentuk sebuah negara, ketika sebahagian negara lain berdepan perpecahan dan kehilangan kesatuan wilayah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyatuan tiga wilayah itu membuktikan Malaysia mempunyai asas perpaduan yang kukuh, meskipun pada ketika itu banyak pihak meragui kemampuan negara yang baru merdeka untuk bertahan dalam menghadapi cabaran perbezaan kaum dan wilayah.

Menurut beliau, kemerdekaan yang dikecapi hari ini bukan sesuatu yang mudah diperoleh, sebaliknya lahir daripada perjuangan serta kebijaksanaan pemimpin terdahulu dalam menyatukan rakyat dan membina negara selepas melalui pelbagai episod sejarah.

“Semasa Merdeka 1957, kalau tengok dan teliti liputan media asing, mereka tidak percaya Malaya atau Tanah Melayu pada ketika itu mampu bertahan dan merangkul kekuatan semua kaum.

“Kerana pengalaman di banyak negara Asia, Afrika dan Amerika Latin, berkecai. Tetapi kita buktikan, kita boleh bertahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Anwar berkata, penyatuan itu kemudiannya diperluaskan menerusi pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, sekali gus membentuk gabungan tiga wilayah yang kekal sehingga hari ini.

“Yugoslavia jadi tiga, Pakistan jadi dua, India jadi tiga, jadi dua, jadi satu. Malaysia daripada satu, sekarang bergabung tiga kekuatan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan Malaysia hasil wawasan pemimpin terdahulu bersama tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak merupakan langkah besar yang jarang berlaku dalam sejarah dunia.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan perpaduan tanpa mengira kaum dan wilayah kerana kekuatan itu menjadi asas kepada kelangsungan kemerdekaan serta kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button