BERITA SEMASAPMX

Dana rampasan berbilion ringgit dipulangkan untuk pendidikan, kesihatan – PM

PUTRAJAYA – Dana berjumlah berbilion ringgit yang berjaya dirampas kerajaan hasil kegiatan haram akan dipulangkan semula kepada rakyat, khususnya untuk memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua dana berkenaan diperoleh melalui proses undang-undang serta keputusan badan kehakiman sebelum dikembalikan untuk kepentingan rakyat.

“Kalau pun ada tindakan, merampas kekayaan dari tindakan badan kehakiman, undang-undang, atas keterlanjuran mana-mana syarikat atau perseorangan, rasuah atau salah guna kuasa, yang mencecah berbilion ringgit.

“Saya isytiharkan semua dana yang dirampas daripada hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman, semua diperoleh itu berbilion ringgit akan dipulangkan terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dalam majlis amanat itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan enam ikhtiar untuk rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027, termasuk mengembalikan had kelayakan BUDI MADANI kepada 300 dan 400 liter.

Selain itu, beliau turut menaikkan peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion serta menyediakan program kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada rakyat.

Ikhtiar lain termasuk memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, menaikkan ambang e-Invois kepada RM3 juta serta menyediakan pembiayaan mikro dan Geran Sejahtera MADANI untuk peniaga kecil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button