Myanmar setuju terima semula 5,000 Rohingya dari Malaysia – Anwar
JELEBU – Kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia hasil rundingan kerajaan dalam usaha menangani isu berkenaan secara berperingkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian isu Rohingya tidak boleh dilakukan secara mudah dengan hanya mencadangkan penghantaran pulang, sebaliknya memerlukan rundingan serta hubungan baik antara negara.
Beliau berkata, terdapat pihak yang memainkan isu berkenaan ketika kempen dengan mencadangkan supaya Rohingya dihantar pulang tanpa mengambil kira realiti keadaan.
“Sebab itu kita adakan hubungan baik dengan Myanmar. Sekarang ini mereka setuju ambil 5,000 daripada Malaysia dan kira-kira 300,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Bangladesh,”.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Minum Petang bersama Anwar Ibrahim di Simpang Durian di sini petang tadi.
Hadir sama, calon DUN Chennah, Anthony Loke yang akan mempertahankan kerusinya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.
Baca juga : Projek rumah Simpang Durian 16 tahun tertangguh, Anthony Loke mohon bantuan PM
Anwar berkata, kerajaan tetap mengambil pendekatan tegas bagi memastikan masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia mematuhi undang-undang serta tidak mengganggu ketenteraman awam.
“Saya tidak mahu Rohingya ganggu orang awam dekat jalan raya. Ini negara Malaysia tak boleh ganggu kita.
“Kita sediakan tempat, asalkan jangan ganggu. Jangan kacau perniagaan orang Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, isu melibatkan pelarian perlu diurus secara berhati-hati kerana turut membabitkan hubungan diplomatik antara negara.
Katanya, kerajaan perlu menjaga hubungan baik dengan negara lain selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia terus dipelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















