Malaysia gesa pembebasan Nicolas Maduro dan isteri, sifatkan penahanan langgar udang-undang antarabangsa
KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa pembebasan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores susulan penahanan mereka dalam satu operasi ketenteraan yang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS), semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penahanan itu merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa serta penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.
Tegas beliau, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui tindakan luar menetapkan satu duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa.
“Saya mengikuti perkembangan di Venezuela dengan penuh kebimbangan susulan operasi ketenteraan tersebut yang luar biasa dari segi skop dan sifat pelaksanaannya.
“Tindakan sedemikian menghakis kekangan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : PBB sifatkan serangan AS di Venezuela ‘duluan berbahaya’danma
Terdahulu, Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Pam Bondi mengesahkan Maduro dan Flores sudah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk narko-keganasan membabitkan perdagangan dadah haram.
“Nicolas Maduro dikenakan tuduhan konspirasi narko-keganasan, konspirasi pengimportan kokain, pemilikan mesingan dan peranti pemusnah serta konspirasi memiliki mesingan dan peranti pemusnah terhadap AS,” tulisnya di X.
Tegas Anwar lagi, masa depan politik Venezuela harus ditentukan sepenuhnya oleh rakyat negara itu sendiri dan sejarah telah membuktikan bahawa perubahan kepimpinan secara mendadak akibat campur tangan luar akan membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
Beliau berkata, keadaan tersebut akan menjadi lebih buruk bagi sebuah negara yang sedang bergelut dengan kesukaran ekonomi berpanjangan dan tekanan sosial yang mendalam.
Malaysia, katanya, menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai perkara utama dalam memastikan hubungan aman antara negara.
“Penglibatan konstruktif, dialog dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai laluan paling berwibawa ke arah penyelesaian yang melindungi orang awam serta membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa menanggung kemudaratan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














