JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tumpaskan scammer menyamar pegawai penguat kuasa luar negara

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pusat panggilan antarabangsa yang menjadikan ibu negara sebagai pangkalan untuk memperdaya mangsa di luar negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket yang dipercayai menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang itu dalam satu serbuan, dua hari lalu.

Operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil daerah Dang Wangi itu berjaya menahan 18 warga Taiwan, yang terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita, berusia antara 19 hingga 43 tahun.

“Polis turut merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba dan dua pasang pakaian seragam polis Hong Kong.

“Barangan yang dirampas itu membantu membongkar modus operandi sindiket berkenaan. Berdasarkan barangan yang ditemukan, sindiket disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis Hong Kong dan menyasarkan mangsa di Hong Kong,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kumpulan itu menggunakan kemudahan internet tempatan untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Sindiket ini menggunakan capaian internet untuk melakukan penipuan dalam talian dan telah beroperasi sejak lima bulan lalu.

“Kesemua yang ditahan telah direman selama empat hari sehingga 2 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button