JENAYAH & MAHKAMAH

Suri rumah rugi RM650,000 terpedaya tawaran pelaburan di Facebook

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah kerugian lebih RM650,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook, sejak Mei lalu.

Menurut sumber, kejadian bermula pada 16 Mei lalu ketika wanita berusia 58 tahun itu berada di rumahnya di Salak Selatan sebelum tertarik dengan iklan berkaitan tawaran pelaburan di Facebook.

“Mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan sebelum menyertai kumpulan WhatsApp dan diberi penerangan mengenai pelaburan yang ditawarkan.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian bersetuju untuk melabur serta membuat bayaran perkhidmatan sebelum diminta memasang satu aplikasi bagi tujuan pelaburan,” katanya.

Menurut sumber, mangsa kemudiannya membuat beberapa transaksi ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan pelaburan berjumlah kira-kira RM350,000.

“Mangsa pada awalnya menerima pulangan keuntungan sebanyak RM20,000 sebelum syarikat pelaburan terbabit menghentikan pelaburan pada 17 Ogos lalu.

“Mangsa kemudian menghubungi pihak berkenaan dan dimaklumkan perlu membayar 50 peratus daripada yuran perkhidmatan sekiranya mahu mengeluarkan wang pelaburannya,” katanya memetik laporan Metro Online.

Susulan itu, mangsa sekali lagi membuat bayaran berjumlah lebih RM300,000, namun wang pelaburan berkenaan tetap tidak dikembalikan.

“Menyedari dirinya mungkin ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan pada Jumaat lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button