Pekebun rugi lebih RM110,000 terpedaya iklan kereta di Facebook
JOHOR BAHRU – Seorang pekebun menanggung kerugian RM110,840 selepas diperdaya sindiket penipuan pembelian kereta terpakai tidak wujud melalui aplikasi Facebook, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian itu berlaku selepas lelaki berusia 55 tahun tersebut melihat iklan jualan kereta jenis Toyota Vios yang ditawarkan pada harga RM49,000.
“Mangsa yang bersetuju untuk membeli kereta terbabit telah diminta membuat beberapa bayaran secara dalam talian yang kononnya melibatkan wang deposit, pendaftaran dan lain-lain proses pembelian hingga jumlah keseluruhan mencecah RM110,840.
“Mangsa melakukan 17 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun penerima sejak awal September,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mula berasa curiga apabila harga kereta itu melebihi harga yang diiklankan sebelum menyedari dirinya telah ditipu.
Menurut Yusof, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada serta menyemak nombor akaun bank menggunakan perkhidmatan Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Orang ramai juga digalakkan memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







