BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pesara ditipu, wang simpanan lebih RM300,000 lesap

KUANTAN – Seorang pesara berputih mata apabila kerugian sebanyak RM328,450.88 selepas diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis dari Putrajaya baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan daripada lelaki berusia 64 tahun itu di Daerah Rompin.

Menurut beliau, mangsa pada mulanya menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 4 Februari lalu yang mendakwa warga emas berkenaan terlibat dalam kes jenayah penipuan dan bakal ditangkap.

“Mangsa kemudian diarahkan membuka dua akaun bank baharu bagi tujuan kononnya pemantauan transaksi kewangan oleh pihak polis serta membantu siasatan.

“Terpedaya, mangsa telah memindahkan wang simpanannya berjumlah RM128,208.88 dan RM200,242.00 ke dalam akaun-akaun berkenaan pada 5 Februari selain menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas membuat semakan semalam (25 Mac) dan mendapati kesemua wang di dalam akaun tersebut telah lesap, manakala suspek gagal dihubungi.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan sekiranya menerima panggilan mencurigakan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, sebarang panggilan yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah serta mendesak tindakan segera seperti membuka akaun bank atau memindahkan wang merupakan taktik sindiket ‘phone scam’.

“Orang awam yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button