Pelajar maut dilanggar lori selepas motosikal terbabas
KOTA BELUD – Seorang pelajar lelaki maut selepas dilanggar sebuah lori ketika cuba menyelamatkan diri selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Jawi-Jawi pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.43 petang itu, mangsa, Muhammad Safwan Muad, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun sedang dalam perjalanan dari Kota Marudu menuju ke Tuaran.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego bersama seorang pembonceng berusia 15 tahun pula dalam perjalanan dari Sembirai ke Kudat.
“Ketika tiba di lokasi kejadian dalam keadaan hujan, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja itu dipercayai terbabas.
“Selepas terjatuh, pembonceng berjaya bangun dan bergerak ke bahu kiri jalan, manakala penunggang dipercayai berlari ke arah laluan lori,” memetik Buletin TV3 online.
Beliau berkata, pemandu lori dipercayai gagal mengelak mangsa kerana jarak yang terlalu dekat sebelum berlaku pelanggaran.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Hospital Kota Belud, manakala pembonceng serta pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








