JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas empat maut: Pemandu treler positif dadah, ditahan polis

KUANTAN – Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga selepas kenderaannya menghempap sebuah kereta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) semalam, didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 pagi ini selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah.

Menurutnya, pemandu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk menjalani ujian saringan sebaik selesai menerima rawatan di hospital.

“Susulan keputusan ujian tersebut, tangkapan dibuat sebelum suspek dibawa ke Mahkamah Raub bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, polis mengesahkan pemandu treler berkenaan mempunyai 15 rekod saman lampau.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang semalam, empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta Honda City yang dinaiki mereka dihempap treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik di Kilometer 43.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak.

Mangsa yang maut dikenali sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, dan Nayla Afya Aizat Faizal, 1.

Siasatan awal mendapati treler berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan selekoh berbukit sebelum terbabas dan terbalik lalu menghempap kereta mangsa.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaan sebelum mayat mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button