LUAR NEGARA

Ketua kultus kiamat Kenya dipenjara 200 tahun, bunuh 191 pengikut

NAIROBI – Pemimpin kultus kiamat di Kenya, Paul Mackenzie dijatuhi hukuman penjara 200 tahun selepas didapati bersalah membunuh 191 orang, hampir kesemuanya kanak-kanak dengan mengarahkan pengikutnya berpuasa sehingga mati kononnya untuk bertemu Jesus.

Menurut laporan BBC News, Hakim Diana Mochache berkata, Mackenzie memikul tanggungjawab jenayah utama dalam tragedi yang disifatkan antara kejadian pembunuhan berkaitan kultus paling dahsyat di dunia itu.

“Hukuman ini sesuai dan adil bagi menyampaikan mesej jelas bahawa kekejaman sedemikian wajar dikenakan hukuman maksimum yang dibenarkan undang-undang,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun atas kesalahan membunuh dan tambahan 100 tahun bagi kesalahan berkaitan kebuluran. Kedua-dua hukuman itu berjalan secara berturutan, menjadikan tempoh keseluruhan 200 tahun.

Mackenzie yang ditahan pada 2023, turut dibicarakan bersama 28 individu lain termasuk pengawal yang menguatkuasakan arahan berpuasa dan penggali kubur yang membantu menyembunyikan mayat mangsa.

kubur kenya
Lebih 400 mayat ditemui di sebuah perkuburan di kawasan Hutan Shakahola.

Kesemua mereka didapati bersalah dalam kes berkenaan, manakala rakan subahat Mackenzie menerima hukuman penjara berbeza sehingga 160 tahun.

Hakim Mochache menyifatkan pembunuhan itu sebagai tindakan yang dirancang dengan teliti dan kejam, selain menegaskan pelaku tidak menunjukkan penyesalan terhadap perbuatan mereka.

Walaupun pendakwa raya memohon hukuman mati, hakim menolak permohonan itu kerana hukuman berkenaan akan menghapuskan peluang pesalah menjalani pemulihan. Kenya tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1987.

Tragedi itu terbongkar selepas pihak berkuasa menemukan lebih 400 mayat di kubur cetek di Hutan Shakahola, berhampiran kawasan pantai Kenya pada 2023.

Siasatan mendapati kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat kebuluran, manakala sebahagian lagi mengalami lemas, jerutan atau kecederaan kepala.

Mackenzie menubuhkan Good News International Ministries pada 2003 sebelum pengaruhnya berkembang dengan ribuan pengikut di seluruh Kenya. Dia menyebarkan ajaran ekstrem termasuk menolak pendidikan dan rawatan kesihatan, selain mendakwa pengikut perlu berpuasa untuk bertemu Jesus.

Gereja utamanya ditutup pada 2019 sebelum Mackenzie berpindah ke Hutan Shakahola dan menggalakkan pengikutnya menyertainya. Hakim turut mendapati ajaran serta arahannya membentuk sistem tersusun yang mendorong pengikut melakukan amalan berpuasa sehingga membawa maut.

Seorang ahli keluarga mangsa, Francis Wanje, yang kehilangan lapan saudara termasuk dua cucunya, berkata beliau berharap hukuman itu setimpal dengan perbuatan Mackenzie.

“Kami berharap hukuman yang dijatuhkan setimpal dengan perbuatannya di hutan itu,” katanya kepada program Newsday BBC.

Bagaimanapun, kes pembunuhan itu hanya melibatkan 191 mangsa, sedangkan lebih 400 mayat ditemukan di hutan berkenaan. Mackenzie turut berdepan pertuduhan berasingan berkaitan pembunuhan tanpa niat dan keganasan yang dinafikannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button