
Miza Ozawa dihukum penjara 2 bulan, hakim arah balik Pulau Pinang selepas tamat hukuman
BANGI – Seorang peniaga ubat kuat dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, di sini hari ini atas kesalahan mencari langganan bagi maksud persundalan melalui aplikasi Telegram.
Siti Amiza Baharuddin, 27, yang hamil enam bulan dikenakan hukuman itu selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkapan iaitu 6 Jun.
Mengikut pertuduhan, Siti Amiza didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan atas nama ‘Miza Ozawa’ di sebuah unit kondominium dekat Bukit Mahkota, di sini pada pukul 4 petang, 6 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Siti Amiza dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dan tidak dikenakan penjara.
“Saya mengandung dan insaf perlakuan lama saya, dan mohon dikenakan hukuman denda dan bukan penjara.
“Saya berjanji tidak akan melakukan kesalahan terkutuk ini lagi dan mahu memulakan hidup baru, saya mahu menjaga anak ini selepas keguguran anak pertama, saya tidak boleh berada dalam penjara, boleh jadi mental dan tekanan,” rayu Siti Amiza.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara selepas mengambil kira kes kepentingan awam berhubung kesalahan yang dilakukan itu.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak bermoral dan boleh meruntuhkan moral masyarakat selain meningkatkan penularan penyakit kelamin,” katanya.
Selesai mendengar permohonan dari semua pihak, Shahrul menasihati supaya tertuduh tidak mengikut perasaan dan nafsu serta jadikan kes tersebut sebagai pengajaran.
Hakim: Awal asal mana?
Siti Amiza: Saya asal Pulau Pinang.
Hakim: Lepas ini hendak buat buat apa?
Siti Amiza: Saya hendak buka kedai makan dekat KL (Kuala Lumpur) dan mahu jaga anak (dalam kandungan).
Hakim: Kenapa dekat KL, siapa ada? kenapa tidak di Pulau Pinang?
Siti Amiza: Saya senang cari makan di KL.
Hakim: Family (keluarga) di mana?
Siti Amiza: Pulau Pinang, KL ada kawan.
Hakim: Balik Pulau Pinang, dekat KL tiada saudara mara kan, kawan tidak boleh pakai. Duduk dengan family kalau betul hendak jaga anak.
Siti Amiza: Faham tuan
Pada minggu lalu, Siti Amiza dilaporkan turut dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dan ubat tidak berdaftar tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








