BERITA SEMASA

‘Wang boleh dicari semula, nyawa tidak’ – PHM

KUALA LUMPUR – Ketua sesebuah organisasi atau majikan perlu meletakkan keselamatan nyawa pekerja sebagai keutamaan ketika berdepan sebarang situasi kecemasan.

Pesanan itu diketengahkan Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian di media sosial yang mengangkat kisah seorang wanita berusia 22 tahun, Kurumi Otake, yang terperangkap dalam insiden gempa bumi di Aeon Mall Kumamoto, Jepun.

Menurut perkongsian itu, Kurumi pada awalnya berjaya keluar dari bangunan berkenaan bersama beberapa pekerja lain selepas gempa bumi melanda.

kurumi
Kurumi Otake maut selepas masuk semula ke bangunan untuk menyimpan wang ke dalam peti besi. 

Di luar bangunan, dia kemudian bertemu ibu saudara dan sepupunya sebelum memaklumkan bahawa dia perlu masuk semula ke dalam premis untuk menyimpan wang hasil jualan ke dalam peti besi.

Keluarganya cuba menghalangnya dan mengingatkan bahawa tindakan itu amat berbahaya, namun Kurumi memberitahu bahawa dia hanya mengikut arahan daripada tempat kerjanya.

Dia kemudiannya masuk semula ke dalam bangunan bersama seorang rakan sekerja.

Beberapa minit kemudian, berlaku letupan menyebabkan kedua-duanya tidak sempat keluar dari bangunan berkenaan.

PHM berkata, kejadian itu menjadi peringatan bahawa dalam situasi kecemasan, arahan daripada pihak atasan boleh memberi kesan besar terhadap keputusan pekerja untuk mengutamakan keselamatan diri.

Menurutnya, Jepun merupakan antara negara yang mempunyai budaya kesiapsiagaan bencana yang kukuh, malah kanak-kanak sudah didedahkan dengan latihan menghadapi gempa bumi, laluan pemindahan, lokasi berkumpul dan tindakan yang perlu diambil ketika kecemasan sejak di bangku sekolah.

“Namun, bertahun-tahun pendidikan mengenai kesiapsiagaan boleh diketepikan hanya kerana satu arahan daripada orang atasan.

“Dalam situasi kecemasan, ayat seperti ‘kalau boleh, masuk semula sekejap’ bukan perkara kecil kerana bagi pekerja, ia boleh dianggap sebagai arahan yang wajib dipatuhi,” menurut perkongsian itu.

PHM menegaskan, budaya keselamatan di tempat kerja tidak seharusnya terhad kepada latihan, poster atau prosedur semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan ketua ketika berlakunya kecemasan.

Dalam keadaan sedemikian, ketua perlu berani memberikan arahan yang jelas supaya pekerja meninggalkan bangunan dan tidak kembali semula sehingga disahkan selamat.

“Wang boleh dicari semula. Nyawa tidak boleh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button