
Pasport 10 tahun didakwa timbulkan masalah di lapangan terbang luar negara
SHAH ALAM – Seorang pengembara Malaysia mendakwa pasport Malaysia yang mempunyai tempoh sah laku 10 tahun menimbulkan pelbagai kesulitan ketika urusan perjalanan di beberapa lapangan terbang luar negara.
Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi Threads hari ini, wanita dikenali sebagai Miza itu berkata, beliau telah beberapa kali berdepan masalah berhubung tempoh sah pasport berkenaan ketika berada di Dubai, Johannesburg dan Windhoek.
Menurutnya, sistem yang digunakan oleh pihak berkuasa atau syarikat penerbangan di beberapa negara didakwa tidak dapat menerima tempoh sah pasport yang melebihi 10 tahun.
“Saya dah hadap masalah ini tiga hingga empat kali. Benda ini kita boleh kesan di Dubai dan berlarutan di Johannesburg serta Windhoek.
“Kalau pihak imigresen tidak ambil tindakan, perkara ini akan terus berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Miza mendakwa beliau turut dipersoalkan oleh petugas lapangan terbang mengenai bagaimana pemegang pasport berkenaan boleh melepasi pemeriksaan dan keluar dari Malaysia menggunakan dokumen tersebut.
“Situasi itu hampir menyebabkan seorang penumpang tidak dibenarkan meneruskan penerbangan dan diminta menunggu di Windhoek sehingga isu berkenaan diselesaikan.
“Persoalannya siapa yang akan tanggung kos penginapan, pengangkutan dan tiket penerbangan seterusnya jika penumpang terkandas akibat masalah ini?” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Imigresen Malaysia meneliti isu berkenaan dan mengambil langkah penyelesaian segera bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia berdepan kesulitan ketika berada di luar negara.
Beliau turut menasihatkan individu yang telah memperbaharui pasport untuk tempoh 10 tahun supaya mendapatkan penjelasan daripada pihak imigresen sebelum melakukan perjalanan antarabangsa.
“Saya sarankan mereka pergi ke imigresen dan minta surat pengesahan atau penyelesaian yang boleh mengelakkan masalah di lapangan terbang.
“Saya tidak mahu orang lain berdepan situasi yang sama kerana ia sangat memenatkan dan boleh menjejaskan perjalanan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








