76 pendatang asing dihantar pulang – Imigresen Kedah
PUTRAJAYA – Seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Menurut Jabatan Imigresen (JIM) Kedah, kesemua PATI berkenaan terdiri daripada 67 lelaki, lapan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki merupakan warga Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Tunisia dan Mesir.
Tambah kenyataan itu lagi, kesemua PATI terbabit yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, di sini, sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sebelum proses pemindahan dilaksanakan.
“Kos tiket penerbangan ditanggung oleh tahanan sendiri, ahli keluarga serta kedutaan negara masing-masing.
“Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI yang dipindahkan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem JIM bagi menghalang sebarang cubaan memasuki semula Malaysia pada masa akan datang,” kata kenyataan itu, hari ini.
Program penghantaran pulang berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan penguat kuasaan berterusan JIM Kedah dalam usaha membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini.
JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, pengesanan, penahanan, pendakwaan dan penghantaran pulang PATI bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan Malaysia terus terpelihara.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








