BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

29 warga asing promosi khidmat seks menerusi WhatsApp, Telegram ditahan Imigresen

PUTRAJAYA – Sindiket seks didalangi warga asing yang menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen menerusi Ops Gegar di Klang dan Puchong, Rabu lalu.

Dalam serbuan di tiga lokasi berasingan itu, seramai 29 warga asing bersama empat individu tempatan diberkas.

Menurut kenyataan Imigresen, serbuan pertama dilakukan pada pukul 3.20 petang di sebuah hotel di Klang yang dijadikan sarang pelacuran.

Hasil operasi itu, 13 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan membabitkan lima warga Thailand, enam warga Indonesia dan dua warga Vietnam.

Turut diberkas, dua wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembersih tanpa pas sah serta dua lelaki tempatan dipercayai penjaga.

Siasatan mendapati bayaran perkhidmatan seks yang ditawarkan sindiket berkenaan antara RM190 hingga RM960, bergantung kepada warganegara wanita yang dilanggan.

Pada masa sama, sekitar pukul 5.30 petang, dua premis refleksologi di Puchong turut digempur pasukan penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan terhadap 25 individu, 16 wanita warga asing ditahan iaitu sembilan warga Thailand, empat warga Myanmar, dua warga Laos dan seorang warga China, berusia 20 hingga 37 tahun.

“Dua warga tempatan turut diberkas kerana menggajikan pekerja asing tanpa pas sah,” kata kenyataan itu.

Semua tangkapan dibawa ke Depoh Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button