BERITA SEMASA

Imigresen kesan lebih 200 hotspot warga asing di seluruh negara

KUALA LUMPUR – Op Mega yang digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bermula semalam berjaya mengenal pasti lebih 200 hotspot yang menjadi tumpuan golongan berkenaan di seluruh negara.

Operasi bermula semalam itu disertai 876 pegawai daripada Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, setakat ini seramai 2,260 individu yang terdiri daripada warga asing dan majikan diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 503 warga asing membabitkan 408 lelaki dan 95 wanita ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Mereka terdiri daripada 290 warga Bangladesh, 101 warga Myanmar, 66 warga Indonesia, 38 warga Nepal, 36 warga India dan 10 lagi warganegara lain,” katanya dalam sidang media selepas Op Mega di Jalan Kenanga, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli.

Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas dan memiliki kad yang tidak diiktiraf, manakala kesalahan paling banyak dikesan membabitkan warga asing yang tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas.

“Ada yang memiliki pas bagi sektor pembinaan tetapi bekerja di kedai kain atau premis pakaian.

“Kita turut menahan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk semakan lanjut bagi mengesahkan ketulenan kad berkenaan,” ujarnya.

Zakaria berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot warga asing.

Mengenai lebih 200 hotspot yang dikesan di seluruh negara, beliau berkata sekurang-kurangnya 100 daripadanya berada di sekitar Lembah Klang.

“Jalan Kenanga di sini pun salah satu hotspot warga asing.

“Kita tidak akan berkompromi dan tidak akan memberi ruang kepada warga asing berada di negara ini secara tidak sah atau berleluasa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button