DBKL nafi penguat kuasa dihalang ambil tindakan terhadap premis warga asing
KUALA LUMPUR – Dakwaan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dihalang daripada mengambil tindakan terhadap premis termasuk yang dikendalikan warga asing adalah tidak benar, tegas pihak berkuasa tempatan itu.
Menurut DBKL dalam satu kenyataan malam tadi, pihaknya mengambil maklum satu hantaran melalui media sosial yang membuat dakwaan berkenaan.
“Tiada arahan menghalang anggota penguat kuasa daripada mengambil tindakan terhadap kesalahan bawah bidang kuasa DBKL.
“DBKL juga akan membuat laporan polis berhubung hantaran berkenaan bagi membolehkan perkara itu disiasat pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, pembahagian tugas antara jabatan dan anggota penguat kuasa dibuat bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut fungsi serta undang-undang.
“Ia bukan sekatan kepada anggota untuk menjalankan tugas. Bagi kes membabitkan bidang kuasa agensi lain, DBKL akan mengambil tindakan dalam ruang kuasanya dan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.
“Tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan kesalahan dilakukan dan bukan berdasarkan siapa yang mengendalikan sesuatu premis,” katanya.
DBKL menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius sebarang dakwaan mengenai salah laku atau arahan yang menjejaskan tugas penguatkuasaan.
“Pihak yang mempunyai maklumat atau bukti khusus boleh mengemukakannya kepada DBKL untuk diteliti.
“Penguatkuasaan DBKL dilaksanakan tanpa pilih kasih dan berdasarkan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, satu hantaran menerusi Threads mendakwa bahawa hampir 500 anggota penguat kuasa DBKL yang bertugas di lapangan, tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis, termasuk yang dikendalikan warga asing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








