JENAYAH & MAHKAMAH

2 lelaki warga asing cuba culik bayi perempuan diberkas

KLANG – Polis menahan dua lelaki warga asing yang cuba menculik seorang bayi perempuannya berusia 19 bulan di sebuah pasar raya dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu, wanita berkenaan memaklumkan dia sedang menaiki tangga bergerak di pasar raya itu bersama anaknya serta adik perempuan.

“Wanita berkenaan yang sedang memimpin tangan bayinya tiba-tiba didatangi dua lelaki warga negara asing dari arah belakang yang mana salah seorang lelaki itu bertindak mengangkat anaknya.

“Wanita berkenaan terus menjerit dan menarik semula anaknya manakala dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap orang awam yang berada di pasar raya itu.

“Dua lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button