Aktiviti pelacuran tumpas, 21 individu dicekup dalam serbuan Bukit Aman
KUALA LUMPUR – Dua premis yang disyaki menjadi sarang pelacuran di Petaling Jaya dan Subang Jaya diserbu Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu operasi khas, petang kelmarin.
Serbuan yang dijalankan sekitar pukul 6.30 petang itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan menyasarkan sebuah hotel serta sebuah unit apartmen yang dipercayai digunakan sebagai lokasi aktiviti tidak bermoral.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, seramai 21 individu ditahan dalam operasi berkenaan, termasuk tiga rakyat tempatan.
“Antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga kepada wanita-wanita yang menjalankan kegiatan pelacuran. Turut ditahan, 20 wanita termasuk dua rakyat tempatan berusia 26 dan 37 tahun.
“Selebihnya terdiri daripada lapan wanita warga China, tiga Mongolia, tiga Uzbekistan serta masing-masing seorang dari Jepun, Rusia, Vietnam dan Laos,” katanya memetik BH Online.
Tambah beliau, sindiket terbabit dipercayai menggunakan laman web untuk mempromosikan perkhidmatan mereka, termasuk memuat naik gambar wanita berpakaian seksi lengkap dengan maklumat pakej dan harga.
“Harga perkhidmatan seks yang ditawarkan antara RM400 hingga RM1,000. Pelanggan akan menghubungi nombor yang dipaparkan untuk membuat tempahan dan setibanya mereka di lokasi, maklumat bilik akan diberikan,” jelasnya.
Sindiket itu turut menyewa bilik hotel pada aras berbeza dan menggunakan unit apartmen bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas sejumlah 59 kondom, 21 tuala mandi, 21 telefon bimbit, 16 kad akses dan wang tunai RM4,470 dipercayai hasil kegiatan pelacuran.
Siasatan turut mendapati, 16 wanita warga asing direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen hingga 30 Julai.
Sementara itu, dua wanita tempatan bersama seorang wanita dari Laos dan seorang lagi dari Vietnam direman sehari, manakala penjaga lelaki warga tempatan direman tiga hari.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








